Marwan Bukhari

Description
Tentang buku dan keilmuan Islam
Advertising
We recommend to visit

Pemburu yang diburu.

Last updated 1 week ago

Memaparkan maklumat awal dan kemaskini terkini berkaitan kemalangan, bencana, jenayah dan isu-isu semasa dalam dan luar negara setiap hari.

Last updated 2 weeks, 1 day ago

Rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Berkongsi kehidupan seharian di Gaza.

Last updated 1 month, 2 weeks ago

1 month, 3 weeks ago
  1. Kepelbagaian dalam pemikiran dan pendekatan berfikir adalah kehendak tuhan. Firman Allah dalam surah Hud, ayat 118-119:

"Kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia."

Perhatikan minda tafsir yang ada pada penterjemah al-Quran kita, Sheikh Abdullah Basmeih yang menggabungkan "perselisihan dan rahmat" semasa memaknai kalimat "wa-lidhalika" (ولذلك) sekaligus menjadikan kedua-duanya sebagai hikmah Allah menjadikan manusia, sedangkan sesetengah ulama mentarjihkan salah satu daripada kedua-dua alasan tersebut.

  1. Kepelbagaian pemikiran juga berlaku kerana manusia mempunyai tabiat dan keupayaan berbeza dalam berpemikiran. Hal ini turut ditegaskan oleh Ibn Rushd yang membahagikan tabiat dan keupayaan manusia dalam membenarkan sesuatu perkara kepada tiga.

Ada pendekatan yang sesuai untuk seluruh manusia, ada yang sesuai untuk kebanyakan manusia dan ada pula jalan khusus untuk golongan tertentu sahaja. Disebabkan itu, kecenderungan, tabiat diri dan kesediaan ilmu manusia memberi kesan terhadap pendekatan yang diambilnya dalam berfikir dan beramal.

  1. Dengan ungkapan yang sedikit berbeza, Imam al-'Izz Ibn Abd al-Salam juga menyentuh soal kepelbagaian manusia dalam beragama berdasarkan tingkatan mereka dalam berfikir dan merenung ayat-ayat Allah.

Menurut Imam al-'Izz dalam Qawa'id al-Ahkam, terdapat tiga tingkatan manusia dalam memahami dimensi maslahah dan mafsadah di sebalik perintah, larangan dan keizinan tuhan.

Tingkatan terbawah ialah maslahah dan mafsadah yang boleh difahamii oleh semua lapisan masyarakat. Tingkatan seterusnya ialah maslahah dan mafsadah yang hanya boleh diketahui oleh golongan cerdik pandai. Sementara itu, kedudukan tertinggi ialah maslahah dan mafsadah yang hanya difahami oleh golongan wali.

  1. Sementara itu, Allama Muhammad Diraz dalam adikarya beliau al-Naba' al-'Azim berpendapat, al-Quran -sebagai rujukan tertinggi agama- boleh dimanfaatkan semua sama ada golongan awam dan khusus, serta menyentuh akal dan naluri sekaligus. Pemanfaatan tersebut adalah berbeza menurut kecenderungan diri serta kapasiti ilmu.

  2. Salah satu faktor kepelbagaian ini ialah sifat keluasan bahasa al-Quran dan hadith. Sifat bahasa al-Quran yang 'umum namun jelas' menjadi salah satu faktor kepelbagaian aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam. Demikian menurut Allamah Muhammad Diraz lagi. Maksudnya, sesetengah perkataan dan ayat dalam al-Quran digunakan sebagai hujah untuk mempertahankan kefahaman dan aliran masing-masing.

  3. Ini belum dikira pelbagai faktor lain yang menyebabkan keanekaan dalam berfikir dan perselisihan pandangan dalam kalangan ilmuwan. Contohnya, faktor pengetahuan seseorang mengenai sesuatu hadith, penilaian berbeza terhadap sanad dan matan hadith, kefahaman berbeza tentang petunjuk yang terdapat dalam hadith, memahami hadith menurut nas-nas lain yang diketahuinya, serta faktor-faktor lain yang diulas panjang oleh karangan yang menyebut tentang sebab-sebab berlaku khilaf.

Dipetik dengan sedikit olahan daripada buku Citra Maqasid al-Shari'ah: Dari Kelahiran Hingga Kebangkitan, karangan Marwan Bukhari A Hamid.

https://www.facebook.com/share/kt6QBL6p2AL54XQ4/?mibextid=WC7FNe

2 months, 2 weeks ago

Isu cuti hari apa adalah dalam bab siasah shar'iyyah, malah antara isu yang amat kecil yang diserahkan kepada kebijaksanaan pemerintah. Penentuannya bergantung kepada kepentingan lebih besar yang ingin dicapai, contohnya menyelaraskan dengan hari kerja dan cuti kebanyakan negeri/negara lain yang akan memudahkan masyarakat terbanyak, menyelaraskan kegiatan ekonomi dan sebagainya. Kalau ditinjau sudut ibadat khusus pada hari tertentu pun, terbukti di tanah air kiga tiada amal ibadat yang terganggu pelaksanaannya jika cuti hari apa sekalipun melainkan beberapa kes terpencil sahaja.

https://t.me/MarwanBukhari

2 months, 2 weeks ago

Membaca hujah-hujah ilmiah pegangan pihak lawan akan mengurangkan sikap taksub dengan pandangan sendiri.

Kalau selepas itu tetap tolak pandangan lawan sekalipun, membaca hujah-hujah itu boleh membuang sangkaan buruk terhadap lawan.

https://t.me/MarwanBukhari

4 months, 1 week ago

Beliau menyatakan bahawa beliau mengikut jejak langkah al-Shatibi dan tidak mengabaikan perbincangan-perbincangan pokok dalam buku al-Shatibi, namun dalam masa yang sama beliau tidak berniat mengulangnya atau meringkaskannya. Al-‘Alwani mengungkapkan dengan ringkas dan tepat tentang pemanfaatan Ibn ‘Ashur daripada al-Shatibi ini dengan berkata:

“Ibn ‘Ashur mengikuti jalan al-Shatibi, tetapi beliau tidak bertaklid dengannya.”

Sementara itu, semasa mengulas percubaan Ibn ‘Ashur mengasaskan ‘ilmu baharu’ khusus tentang Maqasid al-Shari’ah, Dr Sa'id Ramadan al-Buti mengatakan bahawa perkara terpenting bagi buku ini ialah ia merupakan buku pertama yang ditulis secara tersendiri dan berasingan (tidak lagi hanya sebahagian dari perbincangan dalam buku-buku Usul al-Fiqh). Ibn 'Ashur juga mengkaji salah satu topik terpenting dalam Usul al-Fiqh iaitu Maqasid al-Shari’ah dalam satu buku yang khusus.

Oleh itu, tambah al-Buti, tidak syak lagi bahawa karangan hasil al-’Allamah Ibn ‘Ashur ini dianggap sebagai pengasasan yang besar bagi ilmu ini, serta memberi keistimewaan kepada Maqasid al-Shari’ah yang membezakannya daripada ilmu lain.

https://t.me/MarwanBukhari

4 months, 1 week ago

Mengenang 51 Tahun Kewafatan Ulama Terbilang Abad ke-20, al-Imam Muhammad al-Tahir Ibn 'Ashur rahimahullah.

Imam Ibn 'Ashur ialah seorang ulama multidisiplin yang prolifik. Antara kepakarannya yang amat menonjol ialah Tafsir, Usul al-Fiqh, Maqasid Syariah dan Bahasa Arab. Beliau mempunyai karya-karya penting dalam semua bidang itu. Tidak disebut lagi pelbagai karya lain dalam bidang ketamadunan dan falsafah.

Dalam tulisan ringkas ini, saya menyebut salah satu dimensi yang sinonim dengan Imam Ibn 'Ashur iaitu Maqasid al-Shari'ah. Tulisan ini saya ambil dan gubah daripada buku saya berjudul Citra Maqasid al-Shari'ah: Dari Kelahiran Hingga Kebangkitan.

Salah satu sifat penting dalam perbincangan Maqasid al-Shari’ah kontemporari ialah dimensi pembaharuan yang jelas tampak dalam sebahagian penulisan berkaitannya. Pembaharuan ini secara umumnya boleh dilihat dalam penyingkapan baharu terhadap Maqasid al-Shari’ah bersesuaian dengan semangat zaman, implementasi dalam pelbagai kes dan isu kontemporari, metodologi penulisan dan karangan, perluasan wacananya dalam pemikiran semasa.

Konsep dan prinsip Maqasid al-Shari’ah telah ditulis dan melalui perkembangan sejarah yang panjang sejak zaman wahyu, kefahaman para sahabat dan generasi awal umat Islam, para ilmuwan mujtahid selepas itu. Perkembangan sebegini terdapat dalam mana-mana bidang ilmu kerana sifat ilmu itu sendiri berkembang.

Dalam perbahasan Maqasid al-Shari’ah, perkembangan konsep dan penyingkapan baharu terhadapnya boleh dilihat dengan ketara dalam penulisan sebahagian tokoh awal abad ke-20, salah seorangnya ialah ilmuwan besar dari Tunisia iaitu Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur.

Ibn ‘Ashur menjadi fokus dan model bagi pembaharuan wacana disebabkan beberapa faktor.

i) Faktor pertama ialah faktor keutamaan dari aspek zaman kerana selepas al-Muwafaqat, buku Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah oleh Ibn ‘Ashur yang siap ditulis pada 1941 dan diterbitkan pada 1946 merupakan karya pertama yang dikhususkan bagi perbincangan Maqasid al-Shari’ah.

Ini bererti, beliau menyiapkannya dua tahun lebih awal sebelum buku Ta'lil al-Ahkam oleh Mustafa Shalabi yang divivakan pada 1945 dan diterbitkan pada 1949, serta dua dekad lebih awal daripada buku Maqasid al-Shari'ah wa Makarimuha karangan 'Allal al-Fasi.

Memang ada perbincangan tentang hikmah dan rahsia Shari’ah sebelum Ibn ‘Ashur pada abad ke-19 dan 20. Namun tulisan yang dikhususkan dalam bentuk berfokus sebegini dimulakan oleh Ibn ‘Ashur.

ii) Faktor kedua pula adalah kerana buku ini memang dikhususkan bagi perbincangan tentang Maqasid al-Shari’ah sebagaimana diakui oleh penulis.

iii) Faktor ketiga ialah idea Maqasid al-Shari'ah bukan sahaja terdapat dalam buku itu, malah dipraktikkan dalam karya-karya lain termasuk tafsir beliau yang berjudul al-Tahrir wa al-Tanwir.

Kewibawaan Ibn ‘Ashur dalam menanggung beban untuk melakukan pembaharuan dalam bidang ini diperakui oleh ramai tokoh. Antaranya ialah Mustafa Zaid yang menulis dalam tesis beliau mengenai konsep maslahah bahawa:

“sejak bertahun-tahun lamanya, kita tidak melihat perbincangan yang signifikan mengenai maslahah sehinggalah mahaguru Universiti Zaitunah iaitu Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur menulis buat kita suatu buku dalam bidang Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah sejak tujuh tahun lalu.”

Dalam buku tersebut, Ibn ‘Ashur berterus terang mengisytiharkan ilmu Maqasid al-Shari’ah. Ini bererti, beliau meluaskan perbincangan Maqasid al-Shari’ah dan menjadikannya lebih berfokus tanpa hanya menjadi sebahagian daripada ilmu Usul al-Fiqh sebagaimana sejak sekian lama.

Pemanfaatan beliau terhadap para tokoh terdahulu juga jelas, sebagai contoh beliau menyebut percubaan al-‘Izz Ibn ‘Abdil Salam, al-Qarafi dan dan al-Shatibi yang merupakan antara yang cuba mengasaskan ilmu Maqasid al-Shari’ah.

Sekalipun beliau memberi pujian yang khusus terhadap al-Shatibi yang dianggapnya sebagai paling cemerlang menerusi ‘kitab al-Maqasid’ yang dikhususkan sebagai salah satu bab dalam al-Muwafaqat, namun Ibn ‘Ashur turut memberi beberapa kritikan terhadap karya al-Shatibi itu.

4 months, 2 weeks ago

Siapa Kumpulan Kafir Harbi di Malaysia?

Antara persoalan yang kerap timbul akibat pertembungan politik di Malaysia ialah menyebut lawan parti politik sebagai kafir karbi.

Persoalannya, bolehkah disebut sedemikian terhadap kelompok/parti tertentu dalam kalangan bukan Melayu-Islam di Malaysia?

Secara umumnya semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan negara adalah warganegara. Penggunaan istilah warganegara kepada bukan Muslim bukan sahaja sesuai di negara-negara Islam pada zaman ini termasuk di Malaysia, malah bertepatan dengan penggunaan istilah dalam perlembagaan yang merujuk semua sebagai warganegara tanpa mengira agama.

Warganegara bukan Melayu-Islam itu bukan kafir harbi kerana gelaran ini adalah kepada pihak yang memerangi orang Islam. Kalau ada pun yang bermasalah di Malaysia, mereka masih tidak dikira memerangi atau memusuhi untuk memerangi, justeru ungkapan yang sesuai ialah warganegara yang melakukan kesalahan.

Kalau kesalahan dalam memberi pandangan, boleh dibalas dengan hujah balas. Kalau kesalahan melibatkan undang-undang, maka individu atau kelompok terbabit boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Adapun kalau sekadar kerana berbeza parti politik, maka elakkan untuk digunakan istilah kafir harbi. Ada implikasi besar dari sudut fiqh hubungan antara Muslim dan bukan Muslim dalam sesebuah negara, malah pihak yang bersemangat tanpa ilmu boleh mengambil peluang ini untuk menggunakan kekerasan atas nama Islam.

Oleh itu, kalau anda terlalu emosional dan marah sekalipun, hentamlah lawan anda dengan membongkar kesalahan politik dan pentadbiran mereka. Hal itu lebih tepat dengan logik pertembungan antara parti politik berdasarkan prinsip semak imbang.

Lagi-lagi satu masa dahulu memeluk erat dan cukup menghargai kelompok yang dituduh sebagai kafir harbi itu. Dengan suasana politik yang makin fleksibel dari segi gabungan, tidak pelik jika satu hari nanti dua yang bermusuh itu kembali berkawan.

Kalau dalam konteks antarabangsa, darul harbi ada satu sahaja iaitu negara haram Israel jika menurut pandangan al-al-'Allamah Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad. Beliau memberi hujah-hujah yang meyakinkan dan relevan.

Tambahan pula, para ulama dan pemikir bidang politik Islam dan perundangan zaman ini seperti al-Qaradawi, Muhammad Imarah, al-Ghannouchi dan sebagainya sudah membicarakan keperluan untuk tidak menggunakan istilah kafir zimmi. Walhal istilah ini mengandungi maksudnya positif yang menunjukkan hak dan tanggungjawab yang samarata antara warga bukan Muslim dan Muslim di dalam sebuah negara yang sama, kecuali hal-hal eksklusif yang bersangkut dengan hal ehwal agama.

Kalau istilah kafir zimmi sendiri sudah tidak digunakan meski bermaksud baik, maka apatah lagi istilah kafir harbi yang tidak tepat dengan fiqh kenegaraan Islam pada zaman ini. Semua adalah warganegara, atau istilah lain yang indah digunakan oleh almarhum Dato' Dr Siddiq Fadzil ialah "saudara setanahair".

Marwan Bukhari A Hamid

6 months, 3 weeks ago

"Aku pergi ke Barat dan menemui Islam tanpa Muslim, manakala aku pergi ke Timur dan menemui Muslim tanpa Islam."

Kata-kata yang terkenal dan sering disandarkan kepada Sheikh Muhammad Abduh, walhal tidak pernah terbukti bahawa itu kata-kata Muhammad Abduh. Ramai yang menyebut dalam ceramah dan buku, malah ada yang meringkaskannya untuk menjadi tajuk bukunya.

Almarhum Dr Muhammad Imarah yang merupakan seorang ilmuwan ensiklopedik yang pakar dan pengkaji seluruh karya Muhammad Abduh dan para tokoh islah yang lain, beliau sendiri menafikan kata-kata itu disebut oleh Muhammad Abduh. Menurut Muhammad Imarah, beliau tidak pernah bertemu kata-kata itu dalam mana-mana penulisan Muhammad Abduh. Demikian juga kesimpulan Dr Gamal Abdunnur, seorang lagi ahli akademik yang beri perhatian tinggi kepada Muhammad Abduh.

Malah penulisan dan pemikiran Muhammad Abduh sendiri kritis dengan pemikiran dan tamadun Barat zamannya yang maju mengalahkan masyarakat Timur. Antaranya ialah dialog beliau dengan ahli falsafah Inggeris, Herbet Spencer yang mana Muhammad Abduh mengeluh dengan masyarakat Timur yang meniru tamadun Barat kerana kagum dengan kemajuan kebendaannya. Sikap kritis ini juga boleh ditemui dalam beberapa karangannya seperti perdebatan terkenalnya dengan Farah Anton saat Muhammad Abduh berhujah menolak dakwaan bahawa Kristian lebih toleran dan menerima kajian sains berbanding Islam.

Selain Muhammad Abduh, saya perasan sememangnya itu sikap tokoh-tokoh besar aliran islah abad ke-19 dan 20 yang lain terhadap tamadun Barat. Contohnya ialah Rifa'ah al-Tahtawi, Khairuddin al-Tunisi, Jamaluddin al-Afghani, al-Kawakibi, Mustafa Abdul Raziq dan Rashid Reda.

Ya, mereka terbuka dan mencadangkan pemanfaatan pengalaman Barat dalam pemerintahan dan pembangunan, tapi dengan kritis dan menyaring dengan prinsip-prinsip Islam yang tetap. Kita boleh sebut sikap itu sebagai keterbukaan dan pemanfaatan yang kritis. Dalam masa sama mereka menghargai keistimewaan yang ada pada masyarakat Islam di Timur.

Selain tidak terbukti untuk disandarkan kepada Muhammad Abduh, kata-kata itu juga simplistik dan boleh membentuk minda simplistik sebahagian pembaca dan pengkaji. Antaranya saya perasan ada pembentang yang bandingkan tahap pembangunan dan kebahagiaan antara negara Muslim dan Barat dengan bertaklid kepada indeks pembangunan dan kebahagiaan sahaja tanpa kritikal dengan kaedah kajian indeks, serta konsep pembangunan dan kebahagiaan antara pandangan Islam dan pemikiran lain.

Wacana Islam sememangnya terbuka termasuk menerima pengalaman keduniaan tamadun lain yang bermanfaat. Namun dalam masa sama kritikal dan melakukan penyaringan termasuk semasa kajian dan pelaksanaan. Kesimpulannya kata-kata itu belum terbukti untuk disandarkan kepada Sheikh Muhammad Abduh, malah pemikiran dan karangan Sheikh menunjukkan hal sebaliknya. Tambahan pula, kandungannya agak simplistik yang tidak mungkin disebut oleh tokoh ilmuwan besar semisal beliau.

✍? Marwan Bukhari A Hamid

7 months ago

Penggunaan perkataan turath dalam al-Quran

Dalam al-Quran ada satu tempat yang menggunakan kalimat turath (تراث) iaitu dalam surah al-Fajr, ayat 19. Ia digunakan dengan maksud harta pusaka dalam konteks kecaman kepada pihak yang memakan harta itu secara rakus tanpa mengendahkan halal haram.

Terdapat juga ayat lain yang tidak menggunakan kalimat turath secara khusus tetapi terbit dari asal kata yang sama iaitu wa-ri-tha (ورث). Antaranya ialah surah al-A’raf: 169 dan Ghafir: 53 yang kedua-duanya merujuk kepada pewarisan kitab Taurat dalam kalangan Bani Israel.

Surah Fatir: 32 menggunakannya merujuk kepada kitab al-Quran yang akan diwarisi oleh umat Nabi Muhammad SAW. Surah al-Syura: 14 pula digunakan dengan maksud pewarisan kitab secara umum oleh umat-umat terdahulu daripada generasi sebelum mereka.

Penggunaan al-Quran terhadap kalimat yang bermuara kepada asal yang sama dengan turath itu menunjukkan warisan tidak bermaksud harta benda sahaja, malah lebih penting ialah wahyu dan ilmu yang menjadi panduan hidup.

Tambahan pula, satu hadith terkenal yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, “Para ulama ialah pewaris para Nabi” juga menunjukkan bahawa ilmu dan pemikiran berasaskan panduan Nabi itulah hakikat warisan.

Sungguhpun secara umumnya perkataan turath turut merujuk kepada kitab suci dan hadith Nabi SAW sebagaimana disebut di atas, namun selalunya penggunaannya dalam wacana keilmuan Islam terbatas kepada warisan keilmuan dan pemikiran yang ditinggalkan para ilmuwan dan pemikir.

Contohnya turath bidang tafsir, ilmu kalam, hadith, fiqh, falsafah, sastera, bahasa dan sebagainya. Oleh itu, turath yang dimaksudkan ialah warisan manusia iaitu para ulama, filsuf dan pengarang pelbagai bidang. Turath yang suci (muqaddas) iaitu al-Quran dan al-Sunnah pula tidak termasuk dalam penggunaan yang lebih khusus ini walaupun dari segi bahasa ia boleh difahami sedemikian sebagaimana dijelaskan di atas.

✍? Marwan Bukhari A Hamid

7 months, 2 weeks ago

Ayat "Jangan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" bermaksud berbelanja dan berkorbanlah demi menegakkan keadilan dan menyemarakkan kebaikan.

Risiko dan cabaran yang kekadang boleh membahayakan seseorang di sepanjang usaha tersebut tidak seharusnya menjadi alasan dengan berhujahkan ayat itu kerana kebinasaan sebenar adalah dengan bersenang-lenang sahaja tanpa berusaha dan mengerah harta dan tenaga dalam menegakkan keadilan dan menyemarakkan kebaikan.

Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Baqarah, ayat 195:

"Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan ..."

Menurut zahir lafaznya, ayat ini melarang daripada mendedahkan diri kepada apa-apa bahaya yang boleh membinasakannya. Antaranya bahaya itu ialah menyerang musuh dan bertembung dengannya dalam peperangan.

Namun, para sahabat yang hidup pada saat penurunan ayat ini dan mengetahui konteksnya mempunyai kefahaman yang lebih tepat dan baik bagi ayat ini dan maksudnya, begitu juga dengan makna 'tahlukah' [kebinasaan] yang terkandung dalamnya.

Daripada Aslam Abi 'Imran berkata:

"Kami berperang dari Madinah menuju ke Kostantiniah. Seorang tentera dibawa menyusup masuk ke tentera musuh, lalu sebahagian orang berkata: "Usah buat begitu! La ilaha illallah, dia sedang mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan!" Abu Ayyub berkata: "Ayat ini diturunkan kepada kami iaitu golongan Ansar. Setelah Allah menolong Nabi-Nya dan memenangkan Islam, kami berkata: "Marilah kita membangunkan harta kita dan mempereloknya. Lantas, Allah Ta'ala menurunkan ayat "belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan ..."

Oleh itu, maksud mencampakkan diri ke dalam kebinasaan adalah dengan membangunkan harta sambil meninggalkan jihad.

Abu 'Imran berkata: "Abu Ayyub berterusan berjihad di atas jalan Allah sehingga beliau dimakamkan di Kostantiniah."

Sementara itu, daripada Hudhayfah, beliau berkata ayat itu diturunkan tentang perbelanjaan, iaitu berkenaan meninggalkan perbelanjaan di atas jalan Allah Ta'ala. Makna ayat ini ialah: "Janganlah kalian tinggalkan perbuatan membelanjakan harta di atas jalan kebaikan dan jihad sehingga hal itu membawa kalian kepada kebinasaan."

Kata Shaykh Prof Dr al-Raysuni dalam Qawa'id al-Maqasid:

"Berdasarkan maksud ini, kebinasaan yang dilarang untuk ditempuhi dalam ayat itu tidak merangkumi jihad yang dibenarkan dan tidak juga risiko-risiko lain yang boleh ditanggung.

Tetapi, dari sudut lain, ayat itu merangkumi makna meninggalkan perbelanjaan dalam urusan jihad dan amal-amal kebajikan serta menghalakan diri ke arah tuntutan dan impian keduniaan yang sempit."

Dalam konteks ? hari ini, kalau kita tidak memberikan sokongan dalam apa jua bentuk yang dimampukan termasuk kewangan, himpunan, kandungan penyedaran, lobi dsb kerana mahu berada di zon selesa serta bimbang dengan risiko keduniaan, maka itulah hakikat mencampakkan diri kepada kebinasaan.

https://www.facebook.com/share/p/XkZp56BtATef8qRH/?mibextid=WC7FNe

We recommend to visit

Pemburu yang diburu.

Last updated 1 week ago

Memaparkan maklumat awal dan kemaskini terkini berkaitan kemalangan, bencana, jenayah dan isu-isu semasa dalam dan luar negara setiap hari.

Last updated 2 weeks, 1 day ago

Rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Berkongsi kehidupan seharian di Gaza.

Last updated 1 month, 2 weeks ago